Mutiara Kata Pengetua


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam satu Malaysia.

Alhamdulillah, terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana blog Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Sungai Kapar Indah dapat dihasilkan. Saya merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada Jawatankuasa Unit Bimbingan dan Kaunseling yang telah bertungkus-lumus menyiapkan laman web rasmi ini.

Sesungguhnya blog ini adalah sebagai satu perkongsian pintar yang dapat membina nilai-nilai positif, sebagai inovasi pihak UBK menyediakan laman web yang boleh dilayari umum seterusnya dapat meningkatkan perkhidmatan UBK dan PRS SMK Sungai Kapar Indah. Sekalung tahniah diucapkan kepada pihak UBK SMK Sungai Kapar Indah di atas usaha ini.

Pada era langit terbuka ini, kita hendaklah terus memandang ke hadapan dan merebut segala peluang dan ruang yang ada untuk menjayakan visi dan misi yang telah ditetapkan. Saya amat percaya dan yakin bahawa sistem pengurusan UBK yang cemerlang dan berkualiti dapat membentuk dan melahirkan insan yang seimbang dari aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek berdasarkan falsafah dan etika PRS. Kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh warga UBK dapat mengubah personaliti pelajar ke arah positif.

Lestari itu, saya berharap agar warga pendidik khususnya di negara ini dapat memanfaatkan apa-apa jua maklumat yang berkaitan bagi meningkatkan  lagi pengetahuan demi memantapkan UBK di sekolah masing-masing.

Akhirulkalam, saya mendoakan agar laman web rasmi Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Sungai Kapar Indah ini akan terus menongkah arus dunia maya yang tiada sempadan. Sekiranya kita tidak seiring dengan arus kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, kita akan terus ketinggalan dan ditinggalkan.

Sekian, terima kasih.
Kata alu-aluan oleh :
( Puan Hajah Mawarni )
Pengetua SMK Sungai Kapar Indah

POSTED BY : UNIT BIMBINGAN KAUNSELING SMKSKI

0 comments:

SELAMAT DATANG KE UBK SMKSKI :D !